Social Icons





Gedung Ilmu


PENDIDIKAN MORAL
Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral.

Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai- nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan.

Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti sebagai panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh dari segi jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial.

Pendidikan Moral juga memberi peluang kepada murid menguasai kemahiran- kemahiran tertentu seperti kemahiran generik, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan konflik dan kemahiran sosial. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini juga akan menyediakan murid menghadapi dunia teknologi maklumat dan komunikasi dan cabaran alaf baru dengan penuh keyakinan dan bertanggungjawab sosial dan moral.

Penguasaan kemahiran ini juga akan membantu pembinaan daya tahan dan kebolehan menghadapi segala tekanan dan cabaran hidup di kalangan murid.

Para murid juga digalakkan mencari dan memperoleh sumber-sumber maklumat melalui teknologi maklumat dan komunikasi seperti Internet, CD-Rom, e-mail dan sidang telekomunikasi. Aktiviti seperti ini dapat berfungsi sebagai perangsang dan pemangkin kepada kewujudan masyarakat Malaysia yang celek teknologi

No comments:

Post a Comment

 

Peribahasa

1. Sehari Selembar Benang, Esok Lusa Jadi Kain
Usaha yang dilaksanakan walaupun sedikit tetapi berterusan pasti akan membuahkan hasil

2. Kalau Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah di Tepi Pantai
Kalau takut menerima sesuatu cabaran, jangan cuba untuk menceburi bidang tersebut

3. Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh
Kalau bersatu akan menampakkan kekuatan dan andai berpisah akan mencerminkan kelemahan

4. Genggam Bara Api, Biar Sampai Jadi Abu
Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah bersungguh-sungguh serta sabar sehinggalah berjaya melaksanakan

5. Dayung Sudah di Tangan, Perahu Sudah di Air
Segala-gala yang dikehendaki sudah diperolehi

6. Hujan Emas di Negeri Orang, Hujan Batu di Negeri Sendiri
Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang lain, tetap negeri sendiri lebih baik

7. Indah Khabar Dari Rupa
Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan

8. Di Mana Bumi Dipijak, di Situ Langit Dijunjung
Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal

9. Bagai Kacang Lupakan Kulit
Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan

10. Masuk Kandang Kambing Mengembek, Masuk Kandang Kerbau Menguak
Menyesuaikan diri dengan tempat,keadaan dan suasana

Kosa Kata

1. Dasawarsa
dalam jangka masa sepuluh tahun

2. Intelek
kemampuan

3. Ikhtiar
daya, upaya, usaha

Simpulan Bahasa

1. Hidung Tinggi
Orang yang bersikap sombong

2. Cakap Besar
Orang yang sentiasa berkata lebih dari kemampuan diri

3. Murah Hati
Orang yang sentiasa menderma dan tidak kedekut

4. Puteri Lilin
Perempuan yang tidak tahan dengan cahaya matahari yang panas

5. Buruk Siku
Mengambil balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain

6. Kera Sumbang
Orang yang tidak bersuka bergaul dengan orang lain

7. Mengadu Domba
Memperlagakan seseorang untuk memecahbelahkan persahabatan dan sebagainya

8. Lidah Bercabang
Kata-kata yang tidak boleh dipercayai

9. Muka Tembok
Tidak berasa malu

10. Durian Runtuh
Keuntungan yang diperoleh dengan tidak disangka-sangka